Home Community / Opinion Internet Pelbagai Benda – Perkembangan Terkini dan Potensi di Malaysia
Internet Pelbagai Benda – Perkembangan Terkini dan Potensi di Malaysia

Internet Pelbagai Benda – Perkembangan Terkini dan Potensi di Malaysia

0
0

Pengenalan

Internet of Things (IoT), (Internet Pelbagai Benda; IPB), merujuk kepada segala peranti elektronik (ataupun dikenali sebagi objek) yang berkomunikasi sesama sendiri melalui Internet. Internet Pelbagai Benda (IPB) merujuk kepada perubahan teknologi daripada telefon pintar kepada persekitaran pintar, seperti jam pintar, kereta pintar, rumah pintar malahan boleh seluas bandar pintar! Jika sekarang pengguna sudah lali dengan teknologi yang ditawarkan oleh telefon pintar, pada masa akan datang, tumpuan pengguna akan berubah daripada telefon kepada persekitaran. Antara contoh yang mendapat tempat pada hari ini ialah jam tangan pintar untuk pemantauan kesihatan,grid elektrik pintar, kereta pintar yang masih dalam fasa ujikaji oleh Google, dan dron untuk automasi pertanian & pemantauan kemajuan di tapak kerja pembinaanInternet Pelbagai Benda (IPB) didorong oleh empat perkara:

  • Inovasi di dalam fabrikasi komponen elektronik, dipandukan oleh Hukum Moore yang berjaya mengurangkan saiz transistor untuk cip elektronik
  • Kos penderia bersambung ke Internet yang semakin murah
  • Peningkatan pada kadar tembusan Internet sedunia dan
  • Adaptasi mudah kepada peranti pintar.

Internet Pelbagai Benda (IPB) dijangka mencapai kematangan pada tahun 2020, di mana pada waktu itu, dijangka sebanyak 33 bilion ‘objek’ akan berhubung sesama sendiri (anggaran nisbah 4.12 objek berhubung untuk setiap populasi manusia), menjanakan data sebanyak 40 Zetabyte (5 kali ganda daripada tahun 2016!) dan mewujudkan peluang ekonomi baru sejumlah $14 trilion (CISCO, 2011)!


Sejarah

Internet Pelbagai Benda (IPB) ‘lahir’ pada tahun 1989, di mana pengasas protokol TCP/IP bernama John Romkey telah memperkenalkan automasi untuk pembakaran roti setelah dicabar oleh rakan beliau mengenai kelebihan protokol TCP/IP. Apa yang beliau lakukan ialah dengan menyambung pembakar roti kepada komputer melalui Internet supaya kerja membakar roti boleh dilakukan semudah petikan jari pada papan kekunci di mana sahaja!

Setahun kemudian (1990), beliau telah memperbaiki prototaip beliau dengan menambah lengan robotik yang diperbuat daripada LEGO. Ini supaya roti boleh diangkat sebelum dibawa masuk ke dalam pembakar roti melalui Internet.

Istilah Internet of Things diperkenalkan oleh Kevin Ashton, pencipta Auto-ID pada 1999. Istilah tersebut diterbitkan di RFID Journal, di mana di dalam rencana tersebut, beliau menggambarkan sebuah sistem di mana pelbagai penderia bersambung Internet untuk pelbagai aplikasi dunia nyata. Mesin juruwang automatik (ATM) merupakan peranti paling awal berhubung sesama sendiri melalui rangkaian Internet.


Perkembangan Semasa

Terdapat beberapa teknologi Internet Pelbagai Benda (IPB) sudah mengambil tempat pada hari ini. Antaranya adalah dron untuk pemantauan kemajuan tapak pembinaan, peranti boleh pakai (wearable devices), seperti Apple Watch atau Samsung Gear untuk pemantauan kesihatan dan kereta pintar, yang masih dalam fasa pembangunan.

Penggunaan dron semakin mendapat tempat, terutamanya dikalangan penggemar hobi alat kawalan jauh. Jabatan Kejuruteraan Awam di University of Illnois, Amerika Syarikat telah mencipta sistem automasi tapak pembinaan dengan menggunakan dron. Di dalam sistem tersebut, dron bertindak sebagai ‘mandur’ di tapak binaan, di mana dron akan mengawasi kesihatan dan keselamatan pekerja melalui video yang dipancarkan daripada kamera yang dipasang pada dron tersebut.

Selain daripada itu, dron boleh memantau kemajuan pembinaan dengan menggabungkan imej pandangan udara tapak binaan daripada semasa ke semasa. Penggunaan dron turut membenarkan kemaskini perancangan untuk kerja penyambungan akan datang.

Di Malaysia, pihak penguatkuasa sudah memulakan penggunaan dron untuk tujuan pembanterasan aktiviti haram. Kerajaan negeri Sarawak sudah mula menggunakan dron untuk membanteras industri balak haram. Jika sebelum ini, pembalak haram boleh mengesan kehadiran penguatkuasa daripada jauh melalui bunyi kenderaan penguatkuasa, namun dengan penggunaan dron, begitu sukar sekali dikesan oleh pembalak haram oleh kerana dron terbang pada kadar bunyi yang senyap dan tidak melalui jalan darat.

Contoh kedua teknologi Internet Pelbagai Benda (IPB) boleh dilihat pada pengunaan peranti boleh pakai, dalam bentuk jam tangan pintar ataupun penderia pada basikal. Peranti boleh pakai merekod pembolehubah berkaitan kesihatan seseorang, seperti halaju pergerakan (samada dalam keadaan berjalan atau berlari) menggunakan accelerometer, tempoh aktif ataupun tempoh tidur berkualiti, pembakaran kalori, ketinggian daripada satu tempat ke tempat lain dan lokasi pengguna dengan menggunakan penderia GPS.

Kesemua pembolehubah ini menggalakkan rutin hidup aktif pengguna. Pengguna dapat memantau kemajuan mereka daripada hari ke hari berdasarkan prestasi. Sebagai contoh, tempoh masa tidur berkualiti digunakan untuk mengukur kesihatan mental, manakala jumlah kalori terbakar dapat membantu menurunkan berat badan seseorang.

Antara peranti boleh pakai yang sudah beradi di pasaran ialah FitBit, JawBone, Garmin, Samsung Gear dan Apple Wtach. Maka, tidak hairanlah jika sebuah syarikat insurans hayat, John Hancock di Amerika Syarikat yang menawarkan diskaun kepada pelanggan yang menggunakan peranti boleh pakai untuk pemantauan tahap kesihatan mereka.

Jam tangan pintar juga mampu menyelamatkan nyawa pengguna. Pada 8hb September 2015, pengguna jam tangan pintar Apple mendapati kadar denyutan nadi beliau berada pada paras tinggi daripada normal selepas selesai aktiviti latihan football. Ini diikuti oleh kesakitan pada bahagian dada dan belakang. Pelatih beliau menyedari keadaan ini terus bergegas membawa beliau ke wad kecemasan, di mana doktor mengesahkan beliau hampir mengalami kemusnahan pada otot dalam jantung beliau. Bayangkan nasib pemain football ini ditakdirkan beliau tidak menggunakan jam tangan pintar pada hari latihan tersebut!

Peranti boleh pakai dijangka mengubah industri kesihatan. Pada masa ini meletak kebergantungan kepada hospital sahaja. Model penjagaan kesihatan pada hari ini dianggap tidak berkesan dan diganggu oleh birokrasi dan peraturan yang ketat . Dengan pertambahan pelbagai jenis penderia pada peranti boleh pakai, pemeriksaan kesihatan boleh dilakukan secara jarak jauh. Ini memberi keuntungan kepada warga tua, pesakit mempunyai gerakan terbatas ataupun mereka yang duduk di kawasan luar bandar.

Contoh terakhir teknologi Internet Pelbagai Benda (IPB) ialah kereta pintar yang dipelopori oleh Google seawal tahun 2009. Kereta pintar tersebut sudah mengembara ke serata dunia sepanjang fasa percubaan dan pada musim panas 2015, kereta pintar Google telah mencatatkan rekod perjalanan sejauh 1 juta batu dengan rekodkemalangan sebanyak 14, dimana kesemua kemalangan tersebut berpunca daripada manusia!

Kereta pintar Google dilengkapi oleh penderia kawalan jarak canggih, dikenali sebagai LIDAR dan laser yang membantu kereta tersebut untuk menjanakan peta 3D terperinci di sekelilingnya. Kereta pintar kemudiannya menggabungkan peta resolusi tinggi yang membenarkan ia untuk memandu secara sendiri. Kereta dikuasakan oleh bateri dan halaju terhad kepada 25 mph sahaja.

Salah satu cabaran utama untuk pengkomersilan kereta pintar ialah rangkaian stesen pengecasan dan bateri bertahan lama. Oleh kerana itu, dijangka tempoh lebih lama diperlukan sebelum teknologi bateri berada pada kematangan. Selain daripada Google, Apple turut tidak mahu ketinggalan. Apple telah melancarkan Projek Titan untuk menghasilkan kereta pintar sebelum tahun 2019. Gergasi aplikasi perkongsian perjalanan, Uber turut tidak ketinggalan menyertai persaingan pasaran kereta pintar dengan menjalankan ujian di Pittsburgh baru-baru ini. Jelas di sini, idea kereta pintar bakal mencabar industri lazim kereta yang selama ini didominasi oleh Toyota dan General Motors pada masa akan datang.

Pada masa akan datang, kereta pintar mampu memeriksa tahap minyak enjin, air, tekanan tayar dan maklumat berkaitan enjin daripada ECU. Kereta pintar akan menggunakan data-data ini untuk menentukan ‘kesihatan’ sendiri, dan jika data-data tersebut menyatakan kereta pintar tidak berada pada tahap kesihatan yang memuaskan, ia boleh menghubungi bengkel untuk kerja penyelengaraan ataupun baikpulih. Kereta pintar akan mencapai kalendar tuan mereka untuk menentukan tarikh yang sesuai untuk kerja baikpulih mengikut kelapangan tuan mereka dan tahap kritikal kerosakan pada kereta. Dengan bertambahnya kereta pintar di atas jalan raya, dijangkakan bilangan lampu isyarat boleh dikurangkan oleh kerana kereta pintar boleh berkomunikasi sesama mereka untuk menentukan giliran jika berada di persimpangan.

 

Potensi dan Cabaran di Malaysia

Kadar tembusan Internet di Malaysia pada tahun 2015 dianggarkan pada 72.2%. Baki populasi di Malaysia masih dipisahkan oleh Internet oleh kerana cabaran permukaan bumi dan jarak yang jauh daripada pembangunan, seperti di negeri Pahang, Sabah dan Sarawak. Pada Julai, 2015, Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) telah melancarkan peta strategik haluan ke arah Internet Pelbagai Benda (IPB). Sebanyak 14,270 peluang pekerjaan dan sumbangan ekonomi berjumlah RM 9.5 bilion kepada negara. Melalui usaha ini, Cyberjaya akan dibangunkan sebagai model bandar pintar dan selamat melalui teknologi Internet Pelbagai Benda (IPB).

RedTone merupakan syarikat Malaysia pertama mempelopori perniagaan dalam Internet Pelbagai Benda (IPB). Melalui applikasi CitiSense, pengguna dapat melaporkan sebarang masalah berkaitan komuniti, seperti pembuangan sampah merata-rata ataupun aduan mengenai kes denggi. Data-data yang dijanakan oleh pengguna melalui aplikasi CitiSense boleh diterjemahkan kepada analisa data besar (big data) untuk gunapakai oleh pihak berkuasa tempatan bagi tujuan memperbaiki jadual pengutipan sampah mereka ataupun memberi tumpuan kepada kawasan yang mempunyai masalah pengaliran dan kerja pencegahan jika berkaitan kes denggi.

 

Kesimpulan

Dapat diperhatikan Internet Pelbagai Benda (IPB) sudah mula mendapat tempat di merata dunia, termasuklah Malaysia. Proses penyesuaian didapati masih berada pada peringkat awal berdasarkan beberapa teknologi dibincangkan, iaitu dron, peranti boleh pakai dan kereta pintar. Namun, tidak dinafikan potensi dan peluang yang ditawarkan mampu mengubah rutin harian manusia ke arah yang lebih baik.

 

Artikel ini asalnya diterbitkan di Majalah Sains (https://www.majalahsains.com/internet-of-things-perkembangan-terkini-dan-potensi-di-malaysia/)  oleh Prof. Madya Ir. Dr. Rosdiadee Nordin, Pensyarah Kanan di Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Sistem (JKEES), Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina UKM 

Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis.

tags:

LEAVE YOUR COMMENT

Close