UNTUK SIARAN SEGERA

MARii TRACKER: ALAT PENJARAKAN SOSIAL AUTOMATIK MENGGUNAKAN TEKNOLOGI BLUETOOTH

CYBERJAYA, 29 JUN 2021 – Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) mengumumkan MARii Tracker, sistem lengkap bagi mengesan kontak rapat, pemastian penjarakan fizikal dan pengesanan lokasi di dalam premis perniagaan. MARii Tracker merupakan alat yang mengesan pergerakan individu di dalam premis perniagaan dan menyimpan maklumat kontak rapat, rekod pekerja, maklumat rantaian bekalan dan standard operating procedure (SOP), semuanya dalam masa sebenar dan di atas talian.

Keupayaan MARii Tracker ini dilakukan menggunakan peranti bluetooth bersaiz kecil yang dipaut pada tali pinggang atau diletakkan di dalam poket pekerja. Peranti ini akan mengeluarkan bunyi penggera bagi memaklumkan pekerja bahawa dua atau lebih peranti berada kurang dari satu (1) meter antara satu sama lain, yang menandakan SOP tidak dipatuhi. Data ini juga akan direkodkan di dalam sistem pentadbiran bagi tujuan simpanan, analisis dan sebarang tindakan pembetulan.

Ini menjadikan MARii Tracker sesuai digunakan di dalam pematuhan SOP bagi premis perniagaan yang memerlukan bilangan kehadiran pekerja yang tinggi di lokasi, seperti kilang, pusat runcit mahupun terminal lapangan terbang.

Sekiranya terdapat pekerja yang disahkan dijangkiti virus, majikan boleh mengesan dan mengenalpasti kawasan yang terdedah kepada jangkitan melalui sistem pemuka (dashboard) MARii Tracker. Ini memudahkan pengesanan dan pengasingan kontak rapat individu yang dijangkiti, dan pada masa yang sama, ia membenarkan pekerja yang tidak terkesan meneruskan kerja seperti biasa, tanpa risiko.

“MARii Tracker dibangunkan sebagai satu penyelesaian baharu bagi menguruskan pandemik dengan lebih baik di semua peringkat ekonomi. Walaupun gangguan kepada operasi masih menjadi kemungkinan di masa hadapan, sistem ini memberikan dimensi baharu kepada pengurusan kesihatan yang sebelum ini tidak wujud bagi pemilik perniagaan dan pihak berkuasa”, kata Dato’ Ts. Madani Sahari, Ketua Pegawai Eksekutif MARii.

MARii Tracker juga dapat digabungkan ke dalam beberapa sistem pengurusan sumber manusia seperti HRMS dan sistem kedatangan, bagi memudahkan pemantauan pergerakan di dalam premis perniagaan. Selain daripada nombor identifikasi pekerja, MARii Tracker tidak menyimpan maklumat peribadi pekerja, dan sistem ini tidak bergantung kepada telefon pintar ataupun aplikasi mobil untuk beroperasi.

Sistem ini juga boleh disepadukan dengan teknologi-teknologi seperti pengecaman wajah (facial recognition) dan sistem maklumat pemetaan geografi (GIS). Teknologi data besar ini membolehkan penjanaan model ramalan (predictive modelling) dan simulasi corak pergerakan wabak bagi kluster jangkitan baharu.

Untuk maklumat lanjut mengenai MARii Tracker, sila hubungi info@marii.my .